NASIHAT UNTUK SAHABAT YANG BAKAL BERKAHWIN
بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam atas junjungan mulia baginda Rasulullah SAW, para keluarga, sahabat dan pengikut.
Ada sahabat-sahabat yang minta nasihat sebelum berkahwin terutamanya dari segi persiapan jiwa dan keyakinan. Saya ingin kongsikan beberapa perkara kepada para sahabat disini moga dapat diambil manfaat bersama walaupun tidaklah selayaknya saya memberi pandangan.
Berkahwin ibarat kita akan memasuki satu dunia yang misteri yang tak mungkin dirasai melainkan mereka yang telah berkahwin.
Pelbagai persoalan bermain di benak fikiran:
Rezeki?
Tanggungjawab?
Persediaan dari segi ilmu dll?
Apa yang ingin saya fokuskan disini adalah REZEKI dan tanggungjawab sebagai suami.
Rezeki, ya, inilah perkara yang menjadi ketakutan, kebimbangan, kerunsingan bagi semua pihak. Imam Al-Ghazali menyatakan kebimbangan terhadap rezeki ini adalah aqabah awaridh (halangan yang melintangi iaitu halangan keempat) bagi melaksanakan ibadah kepada Allah.
Kita sentiasa mempersoalkan dalam keadaan resah dalam lubuk hati kita “Apa aku nak makan esok? Esok nanti macam mana rezeki aku?” Inilah soalan yang kita sentiasa ulang dalam fikiran selama bertahun-tahun mungkin sampai dekat nak meninggal dunia tanpa kita sedari dalam masa yang sama rezeki kita tak putus-putus. Kita memikirkan soal rezeki hingga lupa bersyukur kepada Tuhan yang memberi rezeki.
Jadi, sebelum kahwin inilah soalan yang bertalu-talu menghentam fikiran kita, bahkan ibu bapa sendiri. Sememangnya benar hal rezeki perlu difikirkan sebagai pembangkit untuk menyusun strategi bagi melaksanakan usaha sesuai dengan tuntutan syara’ namun jangan sampai hati resah gelisah dan takut sehingga hilang pergantungan kita dengan Allah akhirnya tak berani untuk berkahwin. Percayalah mereka yang berani berkahwin adalah mereka yang mempraktikkan dan menghayati TAWAKKAL yang sebenar.
Saya hanya ingin nyatakan disini 3 perkara yang perlu ada:
1) TAWAKKAL YANG SEBENAR KEPADA ALLAH
Tawakkal ini mengikut keadaan hati masing-masing. Para ulama menyatakan tawakkal ada 3 peringkat:
👉 Tawakkal yang masih ada resah (seperti kita mewakilkan kepada orang lain untuk menyelesaikan urusan penting dan kita hanya berada di rumah, namun hati kita sentiasa resah adakah urusan itu ok atau tak). Inilah tawakkal kebanyakan manusia.
👉 Tawakkal seperti bayi (seseorang yang menyerahkan urusannnya kepada yang lain tanpa ada keresahan, namun jika tidak dapat apa yang diinginkan mereka menangis, seperti bayi yang menyerahkan segala urusannya kepada ibunya namun dia menangis apabila perkara yang diinginkan tidak diperolehinya)
👉 Tawakkal seperti mayat (mereka yang hampir dengan Allah tanpa ada kesan makhluk dalam hati).
* Jadi, perhatikan saja kita di peringkat yang mana dan jangan ukur kita dengan orang lain.
2) USAHA SEBAGAI SYARAT SUNNATULLAH
Usahalah mengikut kemampuan tanpa melalaikan tugas sebenar kita kepada Allah, dan kalau kita seorang “tolibul ilmi” jangan sampai tinggalkan tugas mencari ilmu. Berusahalah dan jangan tinggalkan ilmu. Kata Syeikh Ibnu Atoillah:
اجتهادك فيما ضمن لك وتقصيرك في ما طلب منك دليل على انطماس البصيرة منك
(Kamu berusaha dengan penuh semangat untuk menuntut apa yang sudah dijanji akan diberikan kepada kamu daripada rezeki dan kamu lalai daripada perkara yang dituntut daripada kamu supaya mencarinya seperti ilmu dan ibadah, inilah dalil bahawa cahaya mata hati kamu semakin malap)
3) JAGA HUBUNGAN DENGAN ORANG-ORANG SEKITAR
Tetaplah menjaga hubungan dengan orang-orang sekitar seperti ibu bapa, guru, isteri, adik-beradik, sahabat dan kenalan. Hubungkan hubungan yang terputus, sentiasa tanya khabar dan mendoakan mereka. Mereka merupakan asbab pintu rezekimu dibuka. Mereka adalah hadiah buatmu. Peganglah pada sabda Nabi Muhammad SAW ini :
من أحب أن يبسط له في رزقه وأن ينسأ له في أثره فليصل رحمه (رواه البخاري)
Ertinya: Barangsiapa mahu dimurahkan rezekinya dan diberkati umurnya maka hendaklah dia menghubungkan
silaturahim.
KESIMPULAN:
👉 Tawakkal (Hubungan dengan Allah)
👉 Usaha (Syarat sunnatullah)
👉 Silaturahim (Hubungan sesama makhluk Allah)
Mohon ditegur tanpa celaan jika ada salah silap, mohon maaf dari semua.
Cc: Syed Ahmad Ridwan Sayed Md Zain Ben Yahya
Hayyu Sabiek, Cairo.
#SARSMZBY
Comments
Post a Comment