PEMAKAIAN CINCIN DALAM KEHIDUPAN RASULULLAH S.A.W
Umat Islam baik golongan lelaki atau wanita amat digalakkan untuk mengikuti sunnah Nabi Muhammad ﷺ dalam kehidupan seharian tidak kiralah dari segi apapun. Apapun ketika mengamalkan sesuatu mestilah benar dengan ilmunya.
Tidak dinafikan cincin adalah salah satu aksesori yang dipakai oleh Rasulullah, dalam pada itu ada juga di kalangan kita secara keterlaluan dalam pemakaian cincin sehingga penuh pada kesemua jari dengan pelbagai jenis dan bentuk cincin. Sebenarnya Rasulullah ﷺ memakai tidak lebih daripada dua bentuk cincin dan ada kalanya hanya dipakai satu bentuk sahaja dan jika diniatkan pemakaian cincin itu mengikut sunnah Rasulullah ﷺ, maka sudah pasti pahala menanti kita.
Bagaimana Cara Sunnah Memakai Cincin?
Para ulama` berselisih pendapat yang mana lebih utama dalam pemakaian cincin ini. Walaubagaimanapun telah ijmak para ulama` bahawa harus memakai cincin pada mana-mana tangan. Maka diharuskan memakai cincin sama ada di tangan kanan dan juga tangan kiri.
Menurut Imam an-Nawawi; “Telah ijmak para ulamak bahawa harus memakai cincin di tangan kanan atau tangan kiri. Di sebelah mana kita memakainya tidaklah dimakruhkan.” ( mafhum dari Sahih Muslim).
Merujuk kepada hadis-hadis, terdapat hadis menceritakan Nabi memakai cincin di tangan kanannya dan ada juga hadis baginda memakainya di tangan kiri.
Memakai Cincin Di Tangan Kanan
Daripada Saidina Ali r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Nabi ﷺ memakai cincinnya di tangan kanannya.” (mafhum dari Riwayat Imam at-Tirmizi)
Memakai Cincin Di Tangan Kiri
Daripada Anas dan Ibnu Umar keduanya menceritakan; “Adalah Nabi ﷺ memakai cincin di tangan kirinya.” (mafhum dari Riwayat Imam Muslim dari Anas dan Abu Daud dari Ibnu Umar)
Pakai di jari mana?
Mengenai jari pula, sepakat para ulamak menyebutkan; sunat cincin dipakai di jari kelingking berdalilkan hadis dari Anas r.a. berikut;
Anas bin Malek menceritakan; “Adalah Nabi ﷺ memakai cincinnya di jari ini (lalu ditunjukkan pada jari kelingking di tangan kirinya).” (mafhum dari Riwayat Imam Muslim)
Nabi Muhammad ﷺ menasihatkan Saidina Ali r.a. selepas dia berkahwin dengan anakanda kesayangan Baginda ﷺ (Siti Fatimah r.ha.) supaya Saidina Ali memakai cincin di jari manis atau jari kelingking (anak jari). Di samping itu Ali bin Abi Talib berkata: “Rasulullah ﷺ telah melarang saya memakai cincin pada jari telunjuk atau jari yang mengiringinya (jari tengah atau jari hantu).” (mafhum dari riwayat Imam Muslim, Abu Daud At-Tirmizi dan An-Nasai)
Mana yang lebih afdhal, memakainya di tangan kanan atau di tangan kiri?
Menurut Imam Nawawi; para ulama’ Salaf ramai yang memakainya di tangan kanan dan tidak kurang ramai juga yang memakainya di tangan kiri. Imam Malik menyukai memakainya di tangan kiri dan ia memakruhkan memakainya di tangan kanan.
Di kalangan para ulama’ mazhab Syafi”ie terdapat khilaf; ada yang menyukai di tangan kanan dan ada yang menyukai di tangan kiri.
Makruh Memakai Cincin Di 2 Jari
Makruh untuk seseorang lelaki memakai cincin di jari hantu (tengah). Terdapat hadis melarang memakai cincin di jari telunjuk dan yang mengiringinya (jari tengah /jari hantu).
Ali bin Abi Talib menceritakan; “Rasulullah ﷺ telah menegahku dari memakai cincin di jari ini atau jari sebelahnya, sambil dia (Ali) menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya.” (mafhum dari HR Imam Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasai)
Namun menurut ulama’; Larangan di dalam hadis di atas adalah larangan makruh, bukan larangan haram. (mafhum dari Syarah Sahih Muslim)
Ada disebut di dalam kitab Bahrulmazi, bahawa telah ijmak sekalian umat Fekah, sesungguhnya makruh hukumnya memakai cincin di jari telunjuk atau jari tengah atau ibu jari kerana Nabi tiada memakai cincinnya pada jari-jari tersebut.
Bagi kaum wanita, harus memakai cincin pada mana-mana jari tanpa makruh. (mafhum dari Syarah Sahih Muslim, Tuhfah al-Ahwazi, “Aunul-Ma”bud)
Makruh juga hukumnya bagi perempuan memakai cincin perak kerana cincin perak itu ketentuan bagi golongan lelaki.
Larangan
Nabi Muhammad ﷺ melarang kerana memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah adalah meniru cara berhias kaum yang dilaknat oleh Allah iaitu kaum yang derhaka di zaman Nabi Lut a.s
Dilarang memakai cincin daripada sumber dan bahan yang diharamkan seperti hasil riba’, curi dan tulang haiwan yang najis.
Diharamkan juga menggunakan batu permata yang berbentuk patung, haiwan, manusia dan bentuk alat sulit lelaki/perempuan.
Rasulullah ﷺ melarang golongan lelaki memakai cincin emas.
Hadis riwayat Abu Hurairah Radliyallaahu ‘anhu: “Dari Nabi ﷺ, Baginda melarang memakai cincin emas.” (mafhum dari Sahih Muslim No.3896)
“Rasulullah ﷺ melarang kami mengenakan pakaian dari sutera, memakai cincin emas dan minum dengan bekas yang biasa dipakai untuk minum arak.” (mafhum dari HR. An-Nasaa”i)
Nabi Muhammad ﷺ pernah sekali memakai cincin emas iaitu waktu sebelum diturunkan lagi ayat yang melarang orang lelaki memakai emas. Apabila diturunkan ayat itu maka Nabi ﷺ pun segera menanggalkannya dan para sahabat yang memakai cincin emas turut menanggalkan cincin masing-masing.
Daripada Ibnu Omar radhiyallahu ‘anhuma dia berkata: “Nabi ﷺ telah memakai cincin daripada emas (dalam satu riwayat: Baginda memakainya di tangan kanannya) lalu Baginda ﷺ melemparkannya dan memakai cincin daripada perak dengan ukiran: Muhammad Rasulullah. Dan Baginda ﷺ bersabda: “Jangan ada yang mengukir seperti ukiran cincinku ini. Ketika memakainya Baginda akan menjadikan kepala cincinnya pada bahagian dalam telapak tangannya.” (mafhum dari Bukhari dan Muslim)
Kebiasaannya Nabi Muhammmad ﷺ memakai dua bentuk cincin yang diperbuat daripada perak dan daripada batu permata berwarna seperti “Habasyi” (batu aqiq/akik).
Daripada Saidina Anas r.a dia berkata : “Sesungguhnya cincin Baginda Nabi ﷺ itu dibuat daripada perak dan batunya berwarna habasyi.” (mafhum dari Hadis diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud rh.)
Hukum Lelaki Memakai Cincin Suasa?
Telah disebutkan di atas bahawa yang dimaksudkan dengan cincin suasa itu adalah cincin yang mana diperbuat daripada campuran emas dan juga tembaga. Ini menjadikan komposisi cincin tersebut bukanlah diperbuat daripada emas semata-mata bahkan terdapat campuran jenis logam yang lain.
Sekadar pengetahuan kami, suasa ini mempunyai peratusan komposisinya yang tersendiri. Secara umumnya boleh dikatakan bagi membuat cincin suasa, ianya adalah hasil campuran (secara kasar) 70% tembaga, 20% emas dan 10% perak. Kadar ini dicampurkan dengan kaedah yang tertentu lalu menghasilkan suasa.
Oleh itu, bagaimanakah pandangan para ulama’ terhadap sesuatu barang yang terhasil dari campuran emas dan juga bahan yang lain?
Di dalam mazhab Syafi’e, bagi jenis logam yang disadur dengan emas, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya al-Majmu`:
لَوْ كَانَ الْخَاتَمُ فِضَّةً وَمَوَّهَهُ بِذَهَبٍ أَوْ مَوَّهَ السَّيْفَ وَغَيْرَهُ مِنْ آلَاتِ الْحَرْبِ أَوْ غَيْرِهَا بِذَهَبٍ فَإِنْ كَانَ تَمْوِيهًا يَحْصُلُ منه شئ إنْ عُرِضَ عَلَى النَّارِ فَهُوَ حَرَامٌ بِالِاتِّفَاقِ وإن لم يحصل منه شئ فطريقان (أصحهما) وَبِهِ قَطَعَ الْعِرَاقِيُّونَ يَحْرُمُ لِلْحَدِيثِ (وَالثَّانِي) فِيهِ وَجْهَانِ حَكَاهُمَا الْبَغَوِيّ وَسَائِرُ الْخُرَاسَانِيِّينَ أَوْ جُمْهُورُهُمْ أَحَدُهُمَا (يَحْرُمُ) (وَالثَّانِي) يَحِلُّ لِأَنَّهُ كَالْعَدَمِ
Mafhumnya: Sekiranya cincin itu diperbuat dari perak dan dicampur, disadur (menggunakan api) dengan emas atau pedang yang disadur ataupun selainnya dari alatan perang dengan emas, sekiranya dileburkan kembali di atas api lalu masih dapat dikesan emasnya maka hukumnya haram secara kesepakatan. Sekiranya tidak dapat dikesan lagi emas tersebut maka ada dua jalan (yang paling sahih di antara keduanya) dan dengannya diputuskan oleh ulama’ al-`Iraq adalah haram berdasarkan hadis. (Keduanya) padanya terdapat dua pendapat dan dihikayatkan keduanya oleh al-Baghawi dan juga seluruh ulama’ al-Khurasan atau jumhur dari kalangan mereka yang mana salah satunya (haram) dan (keduanya) dibenarkan kerana ianya dihukumkan seperti tiada (emas tersebut selepas dilebur kembali).
Bagaimana Cara Rasulullah ﷺ Memakai Cincin
Rasulullah ﷺ akan menyarungkan cincin-cincin tersebut di jari kelingking (anak jari) dan di jari manis tangan kiri Baginda ﷺ. Sekiranya Rasulullah ﷺ memakai sebentuk cincin sahaja, Baginda ﷺ akan disarungkannya di jari kelingking tangan kiri Baginda ﷺ.
Hadis daripada Anas bin Malek, menceritakan: “Adalah Nabi ﷺ memakai cincinnya di jari ini (Anas menunjukkan pada jari kelingking di tangan kirinya).” (mafhum dari Hadis Riwayat Muslim)
Hadis Riwayat Muslim menyatakan bahawa Rasulullah ﷺ memakai cincin di jari kelingking tangan kiri sehingga baginda wafat. Inilah yang dipegang Imam Malek, Imam Syafi’e dan Imam Ahmad.
Kebiasaannya Nabi Muhammmad ﷺ memakai dua bentuk cincin yang diperbuat daripada perak dan daripada batu permata berwarna seperti “Habasyi” (batu aqiq/akik).
Daripada Saidina Anas r.a dia berkata : “Sesungguhnya cincin Baginda Nabi ﷺ itu dibuat daripada perak dan batunya berwarna habasyi.” (mafhum dari Hadis diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud rh.)
Wan Azizah
Gambar sekadar hiasan.
Comments
Post a Comment